Thursday, August 23, 2012

Manusia Sempurna

Current Mood: Normal
Current Listening: Titanium (David Guetta ft Sia)
Weather: IDK

Wujudkah manusia sempurna? Sempurna dari semua aspek.. wujudkah? persoalan ini sering menjadi tanda tanya. Bagi aku sendiri manusia sempurna itu tidak pernah wujud. Setiap manusia biasa sudah pastinya ada kelemahan dan kekurangan. Aku juga ada kelemahan dan kekurangan luar dan dalam dan aku tidak menafikannya. Kelemahan dan kekurangan aku kadangkala dihina. Ini kadangkala membuatkan aku geram. Adakah aku meminta kehadiran kelemahan dan kekurangan ini hadir dalam tubuhku? oh, sudah pastinya tidak. Kelemahan diri mungkin aku boleh atasi tapi jika kekurangan diri? bagaimana pula? Aku tak tahu bagaimana hendak menjawab jika ditanya tentang kelemahan dan kekurangan aku. Aku juga tidak tahu bagaimana menahan perasaan sakitnya hati apabila kekurangan fizikal aku dijadikan persoalan. Aku bersyukur ke hadrat Allah kerana menciptakan aku dengan sebegini rupa. Cukup sempurna sifat. Aku tidak cacat. Bagi aku itu sudah cukup.

Ini adalah cerita aku. Cerita yang ingin dikongsi. Cerita seorang gadis biasa yang seringkali dipersoalkan tentang kelemahan dan kekurangan diri. Sepanjang aku hidup, aku tidak pernah terasa dihina sebegini sehingga aku berjumpa dengan seorang hamba Allah ini. Ramai yang berkata biarkan saja apa yang dikata olehnya. Pekakkan sahaja telinga. Tapi aku tidak boleh dan aku tak tahu kenapa. Mungkin aku suka mendengar diri aku dihina. Oh! apakah?.. Apa yang hamba Allah ini hina aku? Terlalu banyak. 

1. Mengapa aku tidak cantik?
    Aku sering ditanya soalan itu. Selalunya jawapan yang aku beri hanya diamkan diri dan biarkan sahaja dia mengomel seorang diri. Katanya aku tidak cantik. Buruk paras rupa tidak seperti gadis-gadis yang kebiasaan yang dilihat. Buruk benarkah aku? Katanya aku ini jika dinilai dari tahap cantik, tahap aku yang dibawah sekali. Buruk benar nampaknya. Menurutnya, dia pelik mengapa wujud aku, gadis hodoh. Aku tidak ada jawapan bagi soalan di atas.

2. Mengapa mata aku kecil dan tidak simetri?
    Mata aku juga dijadikan persoalan. Katanya gadis-gadis di luar sana mata mereka cantik. Besar dan menggoda. Kenapa tidak aku? Mengapa mata aku kecil dan tidak simetri? Sebelah besar dan sebelah kecil. Bagi dia itu sungguh jelik. Tidak normal. Gadis cina memiliki mata yang sepet. Adakah mata mereka hodoh?

3. Mengapa telinga aku besar dan leher aku panjang?
    Sungguh pelik dia melihat telinga dan leherku. Katanya telinga aku besar dan huduh. Dia seringkali meminta aku agar menyembunyikan telinga aku. Katanya jika melihat telinga aku yang besar ini dia tidak berselera memandangku. Setiap kali kami berjumpa, aku akan pastikan rambut aku dibiarkan jatuh dan tidak terikat bagi memastikan telinga aku ditutupi. Pernah sekali aku mengikat rambut lalu dimarahi kerana aku telah merosakkan pemandangannya. Mengenai leher aku pula, katanya panjang. Dia juga pelik wujudnya garisan dileher aku seperti leher dikelar. Bagi aku itu normal. Tidak pernahkah dia mendengar leher jinjang? 

4. Mengapa kulit aku gelap dan tidak mulus?
    Aku selalu bertanyakan kepada rakan-rakan. Gelapkah sangat kulit aku? Menurut rakan-rakanku, kulit aku tidak gelap. Biasa sahaja seperti kebanyakkan gadis lain. Tidak cerah tidak gelap. Aku melihat sendiri kulitku. Ya, benar kulit aku tidak gelap. Sawa matang warnanya. Tapi dari mata hamba Allah ini kulit aku gelap. Selain tidak berpuas hati mengenai warna kulit aku dia juga tidak berpuas hati mengenai kulitku yang berjerawat. Katanya aku ini tidak pandai jaga diri. Membiarkan jerawat tumbuh diwajah. Katanya, gadis-gadis yang lain muka mereka mulus kerana pandai menjaga diri. Adakalanya aku melawan, aku katakan aku juga menjaga diri tapi apakan daya jerawat tetap tumbuh. Tapi jawapan aku sering tidak diterima. Baginya aku hanya pandai memberi alasan.

5. Mengapa hidung aku tidak mancung?
    Soalah jenis apakah ini? Ya, memang benar hidung aku tidak mancung. Tapi ia normal. Dato' Siti Nurhaliza sendiri tidak memiliki hidung yang mancung. Hamba Allah ini menyuruhku membuat pembedahan plastik. Hidung seharusnya mancung begitu juga mata yang seharusnya besar dan menggoda.

6. Mengapa badan aku panjang dan kaki aku pendek?
    Aku melihat cermin. Aku tidak pelik. Sama sahaja seperti mana-mana gadis biasa. Apa yang pelik aku pun tidak tahu.

Banyak lagi yang pelik mengenai fizikal aku menurutnya. Cukup setakat ini aku menaip. Serba tidak kena aku dimatanya. Adakalanya bila marah dan geram tidak terkawal aku katakan aku tidak pernah minta untuk dijadikan begini. Marahlah kepada Allah yang menciptakan aku. Selalunya bila bertengkar mengenai hal ini, dia pasti tidak mahu mengalah. Oleh kerana itu, adakalanya aku hanya diam membiarkan diri aku dihina. Diam bukan bererti aku membenarkan kata-katanya. Aku diam kerana malas untuk bertengkar dengan orang yang keras hati. Dia seringkali mengatakan kasihan melihat aku. Katanya tidak ada lelaki yang inginkan aku. Aku tidak normal. Tiada siapa mahukan aku. Orang lain tidak mahu memberitahu keadaan sebenar aku kerana ingin menjaga hati. Dia sayangkan aku sebab itu dia memberitahu aku semua ini. Dia mahu aku menjadi normal. Menjadi gadis cantik. Dia mahu aku buka mata. Kata-katanya kadangkala membuatkan aku ingin ketawa. Lucu. Tahukah dia gadis hodoh inilah yang selama ini berada di sisi dia saat susah senang. Gadis hodoh inilah yang tidak pernah memandang pangkat dan harta yang dia miliki. Gadis inilah yang menerima kehadirannya dalam hidup tanpa ada sebarang syarat. Jika gadis ini gadis cantik, dia pasti tidak akan berjumpa dan mengenali gadis ini. Jika gadis ini cantik pasti dia tidak akan bercinta dengan gadis ini.

Jika aku bisa berkata tanpa sebarang sekatan, ingin aku katakan padanya..
"Cantik itu pinjaman Tuhan. Cantik itu tidak boleh memberi kebahagian. Jika kebahagian dan kasih sayang itu lahir dari cantik. Pastinya kebahagiaan dan kasih sayang itu tidak kekal lama seiring dengan kecantikan yang pastinya akan pudar dimamah masa. Cantik itu bukan untuk dipuja. Cantik itu bukan sandaran dalam hidup. Cantik hanya cantik. Cantik hanya boleh dilihat.."

Semua makhluk Allah itu cantik ciptaannya. Syukurlah jika sempurna semua sifat. Jika tidak berpuas hati bererti kita menghina ciptaan Tuhan. Ingatlah, ada juga yang lahir tidak punya tangan, mata, dan kaki. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki. Aku bersyukur kerana inilah aku. 


No comments:

Post a Comment